12:01 PG | Posted in





Sokongan Pengundi Muda Antara Faktor Kemenangan PAS Di Kelantan



Ditulis Oleh PAS Kelantan
Thursday, 13 March 2008
KUALA LUMPUR : Komitmen pengundi muda dalam pilihan raya ke-12 lalu dipercayai menjadi antara faktor penyumbang utama kepada kejayaan PAS mempertahankan kerajaan Kelantan. Menurut Pegawai Eksekutif Jabatan Pilihan raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusof berkata sokongan pengundi muda yang tinggi dalam pilihan raya kali ini telah memberikan kemenangan yang mutlak kepada PAS di 39 Dun.
"Komitmen pengundi muda yang tinggi telah menjadikan sasaran PAS yang hanya 35 kerusi kepada 39 Dun, begitu juga dengan kerusi parlimen iaitu daripada sembilan kepada 12 kerusi," katanya ketika dihubungi Harakah.

Tambahnya, ia turut disokong oleh pengundi atas pagar, terutama di kalangan pengundi bukan melayu khususnya berlaku pertambahan majoriti yang mendadak bagi perlimen Kota Bharu yang mempunyai peratusan pengundi cina yang tinggi.

Selain itu, beliau yang juga Setiausaha Jabatan Pilihan raya PAS Pusat menjelaskan bahawa berlaku lonjakan undi sebanyak 6.14 peratus di peringkat parlimen manakala di peringkat Dun pula bertambah sebanyak 6.25 peratus.

Beliau juga melahirkan rasa puas hati dengan gerak kerja jentera PAS yang melepasi 75 peratus daripada sasaran yang ditetapkan.

"Saya yakin antara faktor utama kemenangan adalah gerak kerja jentera yang efisien dan istiqamah serta bersungguh-sungguh bagi mempertahankan kemenangan PAS bagi sesi akan datang," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Mohammad Agus Yusof ketika dihubungi Harakah berkata kejayaan PAS adalah akibat kesilapan strategi Umno-BN.

"Mereka telah melancarkan manifesto pada saat-saat akhir pertandingan, ini suatu kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan," katanya.

Bahkan ujarnya lagi, walaupun Umno-BN Kelantan pada peringkat awalnya menjanjikan muka-muka baru yang akan menjadi calon untuk memberikan harapan baru kepada Kelantan.

"Tetapi, kepimpinan Umno-BN dan calon yang ditampilkan tidak mempunyai kelebihan yang berbeza dengan kekuatan yang boleh menggugat calon PAS," ujarnya lagi.

PAS telah berjaya menyambung legasi politiknya apabila berjaya memperolehi kemenangan besar pada pilihan raya umum yang lalu.

Ia sekaligus mengetepikan andaian bahawa kerajaan yang diterajui PAS sejak 18 tahun lalu telah kehilangan sokongan rakyat dengan dakwaan tiada sebarang pembangunan yang dibuat di negeri serambi mekah itu. 

Category:
��
11:50 PTG | Posted in





Pastikan pengundi muda terus sokong BN - Hishammuddin

January 12, 2009 by Pendeta 


11 Jan. - Pergerakan Pemuda UMNO akan berusaha memastikan sokongan pengundi muda yang ditunjukkan di kawasan Parlimen Kuala Terengganu sewaktu pilihan raya umum lalu diteruskan pada pilihan raya kecil ini.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kewujudan sokongan itu dapat dilihat berdasarkan statistik lalu yang menyaksikan banyak saluran tiga dan empat di beberapa peti undi dalam kawasan itu dimenangi oleh Allahyarham Datuk Razali Ismail.

”Malah ada peti undi walaupun saluran satu dan dua kita kalah tetapi tiga dan empat kita menang. Ini menjadi satu petanda dalam suasana pilihan raya umum yang lalu bahawa kita sudah ada sokongan pengundi muda.

”Ini akan kita teruskan sehingga 17 Januari ini, insya-Allah. Kalau kita betul-betul mendekati pengundi muda di Kuala Terengganu, tidak ada sebab mengapa trend ini tidak dapat diteruskan,” katanya.

Hishammuddin bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Rakan Muda Sekolah di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman I di sini hari ini.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan gerak kerja kempen Pemuda, Hishammuddin berkata, perasaan sebegitu tidak boleh ada pada dirinya.

”Ini kerana apa yang kita lakukan ini bukanlah semata-mata hendak memenangkan calon tetapi perjuangan untuk memastikan kesinambungan dasar-dasar yang telah terbukti berjaya di Terengganu khususnya pendidikan.

”Sebab itu buat macam mana pun, biar tidak tidur sampai 17 Januari ini pun kita tidak boleh berpuas hati,” jelasnya.

Mengenai cadangan Exco Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir supaya diadakan ‘gencatan kempen’ untuk sehari oleh Pas dan BN sebagai menandakan kesepakatan dalam isu Gaza, Hishammuddin berkata, apa yang berlaku di Palestin itu lebih besar daripada apa yang berlaku di Kuala Terengganu.

”Dalam konteks Palestin, tindakan kita lebih besar daripada itu (gencatan politik). Adakah kita (Pas dan BN) buat gencatan sehari di sini akan berhenti keganasan di Palestin.

”Yang penting kita jalan saja ke depan dalam isu Palestin ini, siapa nak berhimpun, siapa nak tulis surat kepada AS, jalan saja. Rakyat dan parti politik boleh membezakannya, saya percaya,” ujarnya.-Utusan

Category:
��

:: BANTUAN KEEWANGAN / MODAL PERNIAGAAN ::

BELIA NIAGA
...............................................................................................................
RM50 juta bantuan pinjaman belia niagaPDFCetakE-mail
SATURDAY, 31 MAY 2008

JERANTUT 29 Mei - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan sebanyak RM50 juta pada tahun ini menerusi Tabung Pinjaman Ekonomi Belia untuk meningkatkan penyertaan belia dalam bidang perniagaan di seluruh negara.

 

Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan, Mohd. Azizan Che Omar berkata, bagi menjayakan matlamat tersebut, kerajaan telah memudahkan prosedur dengan mengurangkan kerenah birokrasi yang selama ini dilihat menjadi halangan kepada belia.

Melalui pinjaman tersebut, katanya, belia tidak perlu menyediakan penjamin bagi pinjaman RM15,000 ke bawah sebaliknya mereka hanya perlu mengemukakan permohonan dengan surat sokongan dan pendaftaran perniagaan.

 

''Bagi pinjaman RM15,000 hingga RM50,000 pula, mereka hanya perlu mengemukakan seorang penjamin yang berpendapatan RM800 sebulan," katanya ketika menutup Program Ekspedisi Kuala Tahan anjuran Gerakan Belia 4B Indera Mahkota di Kuala Tahan dekat sini kelmarin.

 

Mohd. Azizan memberitahu, peminjam tidak perlu lagi menjalani ujian minda atau prosedur lain tetapi hanya perlu menjalani kursus singkat perniagaan anjuran kementerian terbabit.

 

Katanya, pinjaman mudah yang disediakan kementerian itu bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan selain melahirkan belia berkemahiran serta berkualiti bagi memenuhi pasaran pekerjaan di seluruh negara.

 

Sehingga kini, menurut Mohd. Azizan, sebanyak RM10.5 juta pinjaman diluluskan kepada belia yang menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan.

 

Sehubungan itu, beliau menggesa belia lepasan sekolah yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran dan menganggur supaya memohon pinjaman itu bagi memajukan diri dalam perniagaan.

 

''Peluang keemasan yang disediakan kerajaan itu tidak seharusnya dipersia-siakan kerana kementerian mempunyai perancangan untuk membantu mereka menjadi usahawan yang berjaya dan mendapatkan pendapatan lumayan," katanya.

 

Mohd. Azizan yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bera berkata, pinjaman itu terbuka kepada semua golongan tanpa mengira kaum.



BANTUAN KEEWANGAN
..............................................................................................................

:: KOMEN DAN PENDAPAT ANDA ::